Messi: Piala Dunia 2018 Peluang Terakhir Untuk Menjulang Trofi Bersama Argentina

Penyerang Barcelona, Lionel Messi berkata Piala Dunia Russia yang bakal diadakan musim panas nanti merupakan peluang terakhir beliau untuk mendakap trofi teragung bolasepak itu.
Dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Argentina ini juga sedar tekanan kini berada di pihaknya untuk memenangi sesuatu selepas beberapa kali dikecewakan dalam perlawanan final.

Messi dan Argentina telah dikecewakan sebanyak 3 kali dalam perlawanan akhir bermula daripada tahun 2014. Pada Piala Dunia 2014 yang diadakan di Brazil, mereka sekadar muncul naib juara selepas tewas di tangan Jerman dalam waktu kecederaan, hasil jaringan tunggal Mario Gotze.
Pada tahun berikutnya pula, Argentina berjaya mara ke perlawanan akhir Copa America 2015, tetapi mereka sekali lagi kecundang di tangan Chile. Nasib buruk Argentina tidak berakhir disitu sahaja.
Dalam edisi istimewa Copa America 2016 yang diadakan di Amerika Syarikat, mereka sekali lagi tumpas dalam perlawanan akhir di tangan lawan yang sama iaitu Chile menerusi sepakan penalti.
Ketika bercakap dalam satu program 'La Cornisa' anjuran stesen televisyen Argentina, Messi mengakui beliau sering menangis apabila teringat detik-detik sukar tewas dalam perlawanan akhir dan tidak dapat membantu Argentina menjulang piala.

"Saya beberapa kali menangis kerana tewas dalam perlawanan akhir. Saya menangis kerana saya sedar apa maknanya untuk memenangi trofi dengan Argentina  dan tidak dapat memenuhi impian seluruh penduduk negara ini."
"Tewas dalam 3 perlawanan akhir merupakan sesuatu yang sukar untuk diterima. Ia seperti pencapaian kami layak ke 3 perlawanan akhir tidak membawa sebarang makna kepada pasukan."
Dengan Messi semakin lanjut usianya dan kini telah menginjak usia 30 tahun, Messi menyedari masa bukan lagi menyebelahi beliau dan beberapa lagi pemain senior dalam skuad Argentina.
Messi akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-31 pada 24 Jun ini dan beberapa muka lama seperti Sergio Aguero, Javier Mascherano, Angel Di Maria, Gonzalo Higuain dan Nicholas Otamendi semuanya akan berusia lebih 30 tahun apabila saingan Piala Dunia bermula.
"Malangnya segalanya bergantung kepada keputusan di atas padang. Kami dapat rasakan jika kali ini kami gagal memenangi Piala Dunia, kami tidak akan mempunyai peluang lain lagi untuk mendakap trofi tersebut."
Messi mengakui impiannya adalah untuk menjulang trofi Piala Dunia di Russia kelak selepas sangat hampir untuk melakukannya 4 tahun lepas di Brazil.

"Saya selalu terbayang berjaya memenangi Piala Dunia, dan berpeluang menjulang trofi tersebut. Ia merupakan impian saya dan setiap kali Piala Dunia menjelma, perasaan ini menjadi semakin kuat."
"Saya mahu semua orang tahu yang harapan saya adalah untuk menjadikan Piala Dunia 2018 sebagai satu kempen yang baik untuk Argentina. Saya mahu semua peminat mengharungi pengalaman yang sama seperti yang dilalui sepanjang Piala Dunia 2014, tetapi berakhir dengan Argentina menjulang trofi Piala Dunia."
Argentina telah diundi dalam satu kumpulan bersama Iceland, Croatia dan Nigeria yang bakal bermula pada bulan Jun.

Sumber : https://www.thesukan.com/messi-piala-dunia-2018-peluang-terakhir-untuk-memenangi-trofi-bersama-argentina
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==