Pengendali Chelsea, Antonio Conte menegaskan bahawa beliau akan menumpukan terlebih dahulu baki saingan musim ini berbanding berbicara mengenai masa depannya di Stamford Bridge.
Conte mengecapi musim sulung yang memberangsangkan pada musim lalu apabila membawa Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris 2016/17 dengan bergaya.
Kecemerlangan tersebut seakan-akan gagal dituruti buat tahun keduanya di London apabila Chelsea kini ketinggalan jauh bagi mempertahankan kejuaraan liga.
Dengan prestasi yo-yo dipamerkan anak buahnya, masa depan Conte juga dilihat sedikit goyah kerana seperti semua sedia maklum, Chelsea merupakan sebuah pasukan yang kerap menukar pengurus jika gagal mendapatkan kejayaan yang diharapkan.
Beberapa keputusan yang kurang disenangi oleh para peminat juga dilakukan oleh Conte pada awal musim apabila melepaskan tonggak utama seperti Nemanja Matic ke Manchester United dan juga Diego Costa kembali ke Atletico Madrid.
Antonio Conte juga turut mendedahkan beliau masih belum membincangkan dan membuat perbincangan mengenai musim 2018/19 seperti pemain baru yang menjadi sasaran dan perancangan pra-musim.
”Tidak. Kelab ini saya rasakan turut mempunyai cita-cita yang sama sekarang untuk memberikan fokus buat masa ini dan tidak terlalu memandang terlalu jauh.”
”Sekarang ini sangat penting bagi kami untuk melakukan yang terbaik.”
”Kemudiannya barulah kami akan membuat persediaan bagi menghadapi musim baru. Tetapi saya rasa perkara yang paling penting ketika ini adalah untuk terus fokus.”
Dalam pada itu, nama Antonio Conte terus menjadi sebutan untuk kembali membimbing skuad kebangsaan Itali.
Naib Komisioner Federasi Bola Sepak Itali, Alessandro Costacurta mengesahkan bahawa Antonio Conte merupakan calon pilihan untuk dilantik menjadi pengurus, selepas jawatan tersebut dikosongkan oleh Gian Piero Ventura yang gagal membawa Itali layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018.
”Daripada semua calon yang berpotensi, pada saya, Antonio Conte merupakan yang terbaik.”
”Saya pasti kami akan mencari pengurus baru dalam tempoh beberapa bulan lagi,” jelas Costacurta dalam Gazetta dello Sport.
Walaupun kelihatan agak sukar untuk mempertahankan kejuaraan liga, Chelsea masih bersaing dalam saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.
Sumber : https://semuanyabola.com/antonio-conte-masih-berteka-teki-mengenai-masa-depan-di-stamford-bridge/