A-Z Sejak Setahun Kepimpinan TMJ Dalam FAM

Hari ini genap setahun kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai Presiden FAM. Berikut adalah bingkisan kami dari A sehingga Z.
A – ACL
Buat pertama kalinya, pasukan dari Malaysia akan beraksi di AFC Champions League pada musim 2019 dengan ada slot automatik. Itu juga akan menjadi sejarah pasukan Malaysia pertama yang akan beraksi di ACL. Ini selepas kejayaan Malaysia meningkatkan ranking coefficient di AFC.
B – Bertugas
Baginda memulakan tugasan di wisma FAM sebaik sahaja dilantik menjadi Presiden FAM yang baharu pada 25 Mac 2017.
C – Calon tunggal
TMJ menjadi calon tunggal dalam pemilihan Presiden FAM yang baharu apabila pesaing baginda, Tan Sri Annuar Musa menarik diri.
D – Dokumen
Sepanjang pentadbiran baginda, isu dokumen sangat mustahak. FAM dan FMLLP sentiasa bekerja keras untuk mendidik pengurusan setiap pasukan supaya tak mengambil remeh akan hal ini.
E – Efisien
TMJ menekankan cara kerja yang efisien dalam pengurusan baginda. Langkah pertama baginda lakukan adalah menstruktur semula pengurusan FAM dan cuba melakukan penjimatan di dalam budget yang terhad.
F – FAM & FMLLP
Pada era pentadbiran baginda, 2 organisasi ini berjaya membentuk perhubungan yang lebih baik berbanding dengan sebelum ini. Ini telah membantu meningkatkan kualiti dan nilai liga Malaysia.
G – Generasi
Baginda menegaskan yang generasi bola sepak Malaysia yang ada sudah ‘tamat’. Baginda lebih fokus kepada pembentukan generasi baru dalam bola sepak Malaysia. Jadi baginda menegaskan pendidikan bola sepak secara holistik di peringkat akar umbi.
H – Handicap 3
Beberapa pertikaian tentang kelayakan seorang ahli politik mewakili Malaysia dalam sukan Polo di Sukan SEA telah membuka mata semua pihak bahawa sebenarnya TMJ adalah pemain polo elit di negara kita dengan handicap 3. Itu sangat tinggi.
I – Iflix
TMJ dan barisan FAM berjaya mendapatkan hak penyiaran terbesar dalam sejarah bola sepak dengan kejayaan mendapatkan tajaan daripada Iflix yang keseluruhannya bernilai RM480 juta.
J – Jumpa
TMJ merupakan seorang pemimpin yang sangat terbuka untuk berjumpa dan beramah mesra dengan peminat bola sepak. Baginda seringkali mengadakan sesi perjumpaan dengan peminat yang berbentuk dialog 2 hala.
K- Kacukan
Pada era baginda, isu pemain kacukan dan pasukan kebangsaan terus menjadi antara topik hangat. Beberapa pemain kacukan lagi memilih untuk bermain untuk Malaysia termasuk Natxo Insa dan Corbin Ong. Natxo sudah melakukan debut tetapi belum untuk Corbin Ong.
L – Lesen
Sejak mengambil alih pentadbiran FAM, baginda mengetatkan lagi syarat untuk perlesenan kelab dan ia mendapat restu daripada AFC. Langkah ini untuk memastikan setiap kelab lebih telus dan profesional dalam pengurusan. Beberapa kelab yang gagal menepati syarat telah dikenakan tindakan. Paling signifikan adalah penyingkiran Felda United FC ke Liga Premier dan kegagalan Kedah ke Piala AFC.
M – Murah hati
Di sebalik perwatakan baginda yang tegas, sebenarnya baginda sekeluarga terkenal dengan sikap pemurah mereka dalam membantu orang yang memerlukan. Dalam arena bola sepak, ayahanda baginda, Sultan Johor sendiri pernah menyumbang secara peribadi RM4 juta untuk dana tambahan kepada FAM dan beberapa sumbangan lain. Baginda juga banyak membantu dalam kewangan FAM dengan sumbangan peribadi baginda.
N – Naikkan Semangat
Baginda antara orang yang seringkali pergi ke bilik persalinan pemain dan juga beriteraksi menerusi panggilan video untuk meniup semangat kepada para pemain. Sudah pastinya baginda seorang motivator yang baik.
O – Ong Kim Swee
Ketika baginda menstruktur semula organisasi kejurulatihan Malaysia, baginda mengembalikan semula Datuk Ong Kim Swee ke pasukan B-23. Ong Kim Swee memiliki rekod yang baik di peringkat tersebut. Dan ia tak menghampakan apabila Datuk Ong Kim Swee membantu Malaysia mara ke Piala Asia B-23 dan seterusnya mara sehingga ke suku akhir.
P – Part time
Baginda pernah berseloroh dengan menyatakan baginda hanya separuh masa sahaja di FAM, itupun baginda sudah melakukan banyak perubahan dalam organisasi tersebut.
Q – ‘Quit’
Sebaik sahaja ranking terkini FIFA pada Mac diumumkan, TMJ terpanggil untuk bertanggunjawab di atas rekod buruk ranking ke-178 itu. Namun perletakan jawatan baginda tidak dipersetujui oleh Exco FAM, wakil AFC dan juga ada wakil daripada FIFA serta Menteri Belia dan Sukan. Ramai masih percaya baginda orang yang paling tepat untuk menggalas tugas itu buat masa ini.
R- Ranking
Dengan fokus pada tahun pertama Baginda menerajui FAM lebih tertumpu kepada menaikkan nilai komersil Liga Malaysia dan pasukan bertanding. Kini kami percaya sudah tiba masanya ranking pasukan kebangsaan di dalam kedudukan FIFA menjadi tumpuan seterusnya. Sebagai usaha awal, perlawanan tambahan untuk Harimau Malaya menentang Bhutan pada 1 April.

S – Struktur
Rombakan pada struktur liga bola sepak menyaksikan liga Malaysia sedang dikembangkan sehingga ke divisyen 5. Pasukan liga sosial dan liga komuniti juga diberikan peluang lebih baik untuk beraksi dalam kejohanan profesional termasuk Piala FA serta ada akses untuk beraksi sehingga ke Liga Super. Pengurusan FAM menjalinkan kerjasama dengan La Liga dalam membantu FMLLP menguruskan liga.
T – Tajaan
Tajaan yang besar dalam Liga Malaysia meningkat kerana pengaruh yang ada pada TMJ. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sendiri mengesahkan ramai penaja yakin dengan FAM kerana visi dan kepimpinan yang ada pada TMJ. Kini setiap pasukan Liga Super akan menerima geran tahunan minima RM3 juta setahun. Baginda anggap itu membantu mengurangkan penggunaan wang rakyat oleh kerajaan negeri untuk bola sepak.
U – Ujian
Baginda pernah mendedahkan yang baginda terkejut apabila mendapat tahu ada beberapa orang dalaman dalam FAM sendiri yang mahu menjatuhkan baginda. TMJ memberitahu peminat bola sepak, ramai yang tidak selesa dengan baginda kerana sekarang semua urusan kena telus dan tegas. Tidak ada lagi dasar ‘kawan-kawan’ seperti dahulu.
V – Vingada
Kredit: New Strait Times
Nelo Vingada adalah ketua jurulatih yang terus dilantik menjadi pengurus pertama dalam pentadbiran baginda di FAM selepas calon utama Mario Gomez gagal mencapai kesepakatan dengan FAM. Namun keadaan agak kurang memihak kepada Vingada sejak mengambil alih tugasan tersebut. Vingada meninggalkan kem Malaysia dengan rekod tanpa kemenangan.
W – Wang hilang?
Wang sentiasa menjadi isu utama dalam pentadbiran baginda di Kelana Jaya. Baginda sendiri mendedahkan yang baginda terkejut apabila FAM tiada wang di dalam akaun, ke mana duit hilang? Ini selepas baginda mengarahkan audit ke atas akaun FAM. Paling teruk ketika itu, pasukan Harimau Malaya tidak mampu memiliki ‘travelling kit’ dan kekurangan baju untuk latihan.
X – ‘eXtra’ untuk siaran langsung
Siapa yang tak mahu siaran langsung kesemua perlawanan bola sepak Liga Super bukan? Di bawah era baginda, peminat bola sepak bukan sahaja menonton kesemua perlawanan siaran langsung Liga Super malah banyak perlawanan Liga Premier terpilih serta perlawanan untuk Piala Domestik. Kesemua itu diikuti di siaran tv percuma, tv berbayar, tv internet dan juga penstriman langsung menerusi Iflix dan beberapa platform lain.
Y – Youth
Skuad Piala B-23 Malaysia mencipta sejarah layak pertama kali ke kejohanan Asia, dan lebih mengejutkan menjadi negara Asia Tenggara pertama yang mara ke suku akhir. Dan kemudiannya diikuti oleh Vietnam pada hari berikutnya. Skuad B-16 dan B-19 kita pula akan beraksi di Piala Asia untuk peringkat umur masing-masing. Nampaknya peringkat akar umbi kita baik-baik sahaja.
Z – Zon selesa
Baginda seorang yang sentiasa mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu yang baru dan mencabar. Oleh sebab itu baginda menyahut cabaran untuk menjadi Presiden FAM selepas baginda berjaya membawa JDT menjadi kelab yang stabil.
Selamat ulangtahun Tuan Presiden
Kami di semuanyaBOLA ucapkan selamat ulangtahun pertama untuk Tuan Presiden, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail (TMJ). Semoga terus sukses dan menyelesaikan beberapa misi yang masih belum selesai.

Sumber : https://semuanyabola.com/a-z-sejak-setahun-kepimpinan-tmj-dalam-fam/
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==