Sebuah laman berita dari Nepal, Goalnepal.com menyatakan yang pihak
Persatuan Bola Sepak Nepal, ANFA sudah mengesahkan yang perlawanan
persahabatan menentang Malaysia pada 1 April 2018 ini dibatalkan.
Hal ini kerana, ANFA berhadapan dengan masalah kekurangan pemain
untuk bermain perlawanan tersebut. Difahamkan beberapa kelab utama di
Nepal tidak mahu melepaskan pemain mereka untuk tugasan tersebut.
Perlawanan persabahatan tersebut di luar kalendar minggu antarabangsa
FIFA pada kali ini. Jadi, beberapa kelab menolak untuk melepaskan
pemain mereka bagi memberikan fokus kepada perlawanan penting dalam
saingan domestik.
Terdapat 2 persaingan domestik utama yang menjadi tumpuan. Pertamanya
adalah Piala Emas Madan Bhadari dan yang kedua adalah Piala Emas Birat
yang akan berlangsung di Butwal dan Biratnagar.
Goalnepal.com juga memberitahu yang jurucakap ANFA, Sanjib Misra
sendiri sudah mengesahkan akan hal itu dan mereka sudah pun menghantar
surat penjelasan ke Kuala Lumpur.
Oleh itu, pemain-pemain Nepal akan terus pulang ke tanah air mereka
sebaik sahaja tamat tugasan antarabangsa menentang Yaman pada 27 Mac
ini.
Sebelum ini pihak FAM sudah menghebahkan akan ada satu perlawanan
antarabangsa ‘A’ tambahan selepas perlawanan menentang Mongolia
(persabahatan A) dan juga Lubnan (Kelayakan Piala Asia 2019) pada 27 Mac
ini.
FAM juga sudah mendapat sokongan daripada FMLLP untuk mengubah jadual
bola sepak domestik bagi memberikan laluan kepada pemain-pemain yang
beraksi di dalam perlawanan menentang pasukan di ranking ke-165, Nepal
pada 1 April 2018.
FAM bertindak darstik untuk mengadakan perlawanan persahabatan
antarabangsa tambahan. Antara sebabnya adalah untuk memperbaiki ranking
skuad Malaysia yang kini berada di tangga ke-178. Pada masa yang sama ia
juga boleh digunakan Tan Cheng Hoe untuk menyediakan pasukan Piala AFF
Suzuki.
Buat masa ini, pihak FAM masih belum ada sebarang hebahan untuk
perkara ini. Mungkinkah FAM akan mengusahakan perlawanan persabahatan
menentang pasukan lain pada tarikh itu kelak? Sama-sama kita nantikan
apa sahaja perkembangan terkini berkaitan hal ini.
Sumber : https://semuanyabola.com/malaysia-nepal-batal/